Saturday 20 July 2013

Awas Muhyiddin. Command Centre Bukan Tempat Pesta Menjilat. Majoriti 4,000 Hanya Mimpi.

12 Julai 2013 secara rasminya nama calon pilihanraya kecil N.01 Dun Kuala Besut telah diumumkan oleh SPR. Secara rasminya juga pertandingan dalam PRK sulung ini menemukan calon Barisan Nasional Tengku Zaihan dengan calon PAS Endut@Azlan.


Kami tidak berminat untuk berbicara soal calon dan proses pilihanraya yang menjadi tanggungjawab SPR sekian lamanya. Kalaupun kami berbicara lebih soal proses pilihanraya dan calon, ianya belum tentu dapat membantu BN mendapat kemenangan dalam PRK sulung ini.

Apapun, kami tetap berdoa yang BN akan peroleh kemenangan yang selesa menjelang hari buang undi tidak berapa lama lagi. Apa yang perlu menjadikan perkara utama jentera BN, ikhlaslah dalam melaksanakan tugas bukanya lebih kepada mengampu sepanjang kempen PRK ini.

UMNO Barisan Nasional perlu sedar bahawa nyawa kerajaan BN di Terengganu bagaikan telur dihujung tanduk. Jarang benar kita dapat lihat kalau telur jatuh ke lantai dari tempat yang tinggi telur tersebut masih dalam keadaan elok serba lengkap. Apa yang pasti telur itu kemungkinan akan pecah dan berkecai.

Kita tidak mahu BN Terengganu hanya dapat menjadi kerajaan sekitar 3 bulan selepas PRU13. Apakah nasib BN Terengganu akan berubah pada 24 Julai ini semuanya bergantung kepada jentera Barisan Nasional yang sedang berkampung di Command Centre Bukit Kluang Besut.

Kami sudah mendapat khabar dari Bukit Kluang yang Command Center BN kini menjadi tempat pertemuan dan sembang gelak tawa dikalangan pemimpin BN. Tempat yang sepatutnya dijadikan pusat menganalisa isu, menyusun propaganda dan menggerakan jentera kadang-kadang sudah bertukar menjadi medan mengampu dan menjilat pemimpin.

Hakikatnya, inilah juga yang pernah berlaku setiap kali Pilihanraya Kecil di mana-mana sebelum ini. Pemimpin kecil akan menjilat pemimpin besar, Ketua agensi akan mengampu menteri dan seterusnya. Masing-masing mahu dilihat seolah-olah mereka hadir menjalankan kerja tetapi realitinya lebih banyak bercakap daripada bertindak.

Mereka yang berada di command centre ini seolah-olah merasakan yang BN Terengganu menang 2/3 sewaktu PRU13. Kalah atau menang PRK ini tidak penting bagi mereka barangkali, bercakap tentang pemilihan parti UMNO lebih seronok bila berada di Besut.

Bersantai di tepi pantai Kluang sambil berbicara soal siapa akan lawan siapa waktu PAU nanti dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa terasa bagaikan mereka berada di syurga. Sekali sekala mereka mahu berlagak seperti orang kaya di Besut.

PRK Kuala Besut bertambah menarik bila ada sumber berkata pihak media seperti blogger dan facebooker pro BN telah bergaduh sesama sendiri di command centre. Apakah pergaduhan itu semua berpunca dari wang? Nampaknya, dari segi pengamal media BN pun perlu ada skil atau sikap mengampu pemimpin. Siapa yang pandai mengampu, maka dialah bakal makan besar. AAKJ antara watak utama dalam pergaduhan yang berlaku di Command Centre baru-baru ini.

Bercakap soal menang atau kalah BN di PRK Kuala Besut ini, semuanya bakal terjawab pada 24 Julai nanti. Secara kasar melalui pemantauan kami yang berkampung selama 3 hari sehingga hari ini, BN akan menang dengan mudah namun majoriti 4000 yang Idris Jusoh mahukan barangkali hanyalah mimpi yang tidak akan menjadi realiti.

Kegagalan Muhyiddin dan Idris Jusoh dalam mengatur jentera jelas kelihatan. Usaha menghantar UMNO dan agensi dari seluruh negara hanyalah satu perkara yang sia-sia kerana yang hadir lebih suka bertemu rakan-rakan berbanding beramah dengan pengundi Kuala Besut.

Waktu pagi amat susah untuk bertemu jentera luar dalam kawasan Kuala Besut yang berkemungkinan masih tidur kerana penat berjaga malam. Tetapi yang sedihnya berjaga malam bukan kerana bekerja untuk memenangi hati pengundi sebaliknya mencari meggi ketam atau rojak buah berbual kosong dengan kawan-kawan.

Buat Muhyiddin dan Idris Jusoh. Usahlah bermimpi dengan majoriti 4000 yang anda mahukan. Janganlah percaya bulat-bulat dengan laporan yang anda terima dalam mesyuarat di command centre setiap hari jam 9.00 oleh UMNO negeri mahupun pihak agensi. Peratusan laporan tersebut palsu sangatlah tinggi pada hemat kami.




No comments:

Post a Comment

Sebarang komen yang ditinggalkan adalah di bawah tangungjawab anda sendiri. Admin tidak akan bertanggungjawab. Terima kasih.