Friday 28 June 2013

Malaikat Izrail Hampiri Jasad JASA & BTN.


Manusia akan hidup bila jasad dan nyawa akan bersatu. Kalau ia hanya tinggal jasad, beerti itu adalah bangkai bukanya lagi digelar manusia. Kalau yang tinggal hanyalah roh, itu dinamakan jin atau polong tidak bertuan.


Roh yang baik dan disaluti dengan jasad yang menarik, pasti akan menjadikan menusia itu kelihatan begitu gah dan mantap. Tetapi jika jasad sahaja yang menarik tapi roh semakin hilang, manusia itu kelihatan longlai dan tidak lagi menampakan kehebatanya.

6 jahanam bukan mahu mengulas panjang tentang asal usul kejadian manusia mahupun sistem batang tubuh manusia ataupun jin, tetapi ianya boleh dijadikan sebagai simbolik kepada 2 agensi yang dikatakan benteng kepada negara tercinta dalam usaha mendidik anak bangsa agar memiliki semangat patriotisme yang tinggi.

JASA dan BTN antara badan induk yang sepatutnya membantu kerajaan sedia ada sebagai agen parantara rakyat dan pemimpin. Ini bukan bermaksud mereka boleh menjadi perantara politikus dengan PM Najib sebagai tukang lobi calon Barisan Nasional dalam setiap pilihanraya. Segala dasar yang dibawa oleh kerajaan haruslah sampai kepada rakyat melalui BTN dan JASA. Sampai bukan beerti dengan menghantar pamplet atau poster tetapi biarlah rakyat dapat menghayati semua itu dengan hati dan nurani mereka.

Menteri sudah pencen, anak buah bila lagi?

Dimana silapnya? Itu harus dijawab oleh Fuad Hassan dan Raja Arif selaku pengemudi dua kapal besar ini. Maju atau mundur sesebuah kapal sudah pasti banyak bergantung pada nakhodanya.

Kami secara tidak sengaja pernah terlibat dengan beberapa program yang JASA anjurkan. Kami juga pernah dijemput untuk hadiri seminar yang disusun atur oleh BTN. Baik JASA mahupun BTN, bagi mereka jika sesuatu program yang dianjur boleh mencecah angka yang lebih 1000 orang kehadiran sudah boleh dianggap kejayaan yang teramat besar.


Hakikatnya, mereka lebih suka kepada kuantiti berbanding kualiti. Apakah mereka sedar yang hadir dalam setiap program itu hanyalah untuk mengambil cenderahati ataupun atas arahan pihak jabatan semata-mata? Keluar dari dewan seminar, yang hadir itu jugalah akan kibarkan bendera DAP,PKR dan PAS.


Jahilnya apabila laporan yang JASA dan BTN hantar kepada YAB PM, "Kami Berjaya Laksanakan Program Bos! Kehadiran Diluar Jangkaan!". Biarpun kadang-kadang yang hadir itu terpaksa diangkut dengan jumlah bas yang begitu banyak.

Ahmad Maslan atau Raja Arif yang gagal?
Kalau beginilah cara BTN dan JASA bekerja, adalah lebih baik serahkan tugas tersebut pada JKKK atau KRT. Mereka juga mampu memikul tugas untuk jalankan program berbentuk kosmetik bagi menarik orang ramai hadir serta angkutlah peserta dengan puluhan buah bas.

Payah. Bila buat kerja hanya semata-mata mahu melihat mereka hebat di mata YAB PM biarpun tugasan itu tidak menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Wang habis dibelanjakan tetapi ianya digunakan bukan pada tempat yang betul.

Kami tidak pasti sejauh mana kebenaranya cerita tentang Dato Fuad Hassan. PRU13 banyak juga khabar yang datang ke telinga kami berhubung Dato Fuad Hasan terlalu gilakan tempat untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional di negeri Selangor. Tetapi bila nama beliau tidak dicalonkan, Fuad Hasan dikatakan sangat kecewa. Berapa banyak wang JASA ditaburkan di Bukit Antarabangsa untuk Fuad Hasan jalankan program? Saya tidak berani menulis angka wang tersebut bimbang tersalah digitnya.

Hakikatnya, JASA jalankan tugas atas dasar mempunyai kepentingan peribadi bukanya kerana agama, bangsa dan negara. Kalau kata-kata kami ini tidak betul, senaraikan pada kami 10 orang nama pegawai JASA di Parlimen ataupun DUN yang bukannya ahli UMNO setempat. Maka sebab itulah, JASA tidak mempunyai kuasa untuk menegur UMNO mahupun BN di mana tempat mereka bertugas. Bagi JASA, asalkan program jalan, laporan hantar sudah memadai tugasan aku sebagai pegawai JASA.


Biro Tatanegara juga sudah dilihat bagaikan jasad yang tidak mempunyai roh. Mereka juga tidak terlepas melaksanakan program semata-mata untuk mengampu atau menjilat YAB PM. Kuantiti adalah lebih penting berbanding kualiti. Perbanyakkan jumlah program agar laporan yang dibentangkan kepada PM Najib menunjukkan BTN lah agensi yang terbanyak jalankan program untuk rakyat. Padahal terkadang yang hadir program itu hanyalah orang UMNO semata-mata.

Tun M pernah sarankan jangan dipinda modul BTN.


Segelintir individu yang pernah hadir kursus BTN suatu ketika dahulu amat sedih apabila semangat Ketuanan Melayu tidak lagi menjadi agenda utama BTN untuk masa kini. Biarlah orang Melayu terus ketinggalan dan lupa asal usul mereka. Bagi Biro Tatangera, hati cina perlu dijaga. Akibatnya, PRU13 secara keseluruhanya Cina menolak kepimpinan PM Najib. Penceramah BTN hanya perlu bercakap soal 1Malaysia berbanding  kepentingan politik orang Melayu.

Kami juga sedar, amatlah perlu untuk kita sama-sama memikul agenda gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh YAB PM, tetapi jangan pula kita pikul atas dasar mahu mengampu kepimpinan tertinggi. Sebagai sebuah agensi yang bijak seperti BTN, mereka patut membaca suasana politik dan kehendak semasa. Apakah orang Melayu secara keseluruhanya sudah boleh menandingi orang cina pada hemat BTN? Apakah anak muda berbangsa Melayu sangat memahami sejarah asal usul keturunan mereka? Harap Raja Arif tepuk dada tanyalah hati beliau.

Maaf JASA dan BTN. Kami bukan mahu menidakkan peranan anda sepanjang tempoh dua agensi ini diwujudkan, tetapi semakin ramai yang bercakap soal kegagalan agensi anda dalam membantu YAB PM selama ini. Baik Fuad Hassan mahupun Raja Arif, carilah jalan untuk kembalikan taring yang pernah ada pada BTN dan juga JASA.

Apakah Najib Razak lebih suka jika mana-mana individu yang mengepalai sesuatu jabatan atau agensi seorang manusia yang kaki ampu? Apakah Najib Razak seorang manusia yang hanya mahu mendengar laporan-laporan yang manis walaupun laporan tersebut penuh dengan kepalsuan dan tidak telus? Kalau inilah sikap PM Najib, alangkah malangnya Malaysia yang kami cintai.

Sekarang ramai pihak mula merasakan yang nyawa BTN dan JASA semakin hampir kepada penghujungnya. Barangkali malaikat Izrail sudah menghampiri kedua-dua agensi yang tercinta ini untuk diambil nyawa mereka. Cita-cita pembangkang untuk lenyapkan fungsi BTN dan JASA semakin tercapai. Mereka tidak lagi gentar dengan kehadiran BTN dan JASA. Kalaupun ada 100 agensi BTN dan JASA di Malaysia, bagi pembangkang ia hanyalah satu jasad yang tidak lagi bernyawa atau dengan terma lain BTN dan JASA hanyalah bangkai busuk yang menunggu reput dimamah semut hitam.

Pesan kami untuk PM Najib. Jenguk-jenguklah dua agensi utama ini. Kepada menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia JASA dan BTN, buatlah sesuatu yang serius agar kedua-dua agensi ini tidak hancur ditelan zaman.

Monday 24 June 2013

Antara Sifir Fizik, Sifir Matematik Dan Sifir Politik. Mana Yang Najib Pilih?


Kejayaan seseorang manusia dalam apa juga bidang kebiasaannya kerana mereka itu menguasai formula kejayaan dan fasih tentang formula yang dipelajari. Apatah lagi jika bidang yang diceburinya adalah bidang yang profesional. Untuk seseorang menjadi engineer yang baik, maka formula fizik adalah asas utama yang perlu dikhadam seperti untuk kuasa mekanik. Kuasa adalah kerja yg dilakukan per unit kuasa. Maka formula untuk kuasa ialah P=DdE\dt yang mana P ialah kuasa, E ialah tenaga atau kerja dan t ialah masa. 


Itulah formula asas untuk menjadikan seseorang itu berjaya dalam kerjaya profesional. Begitu juga untuk berjaya dalam bidang akuantan, kemahiran menguasai sifir matematik seperti 5+5=10, 5x2=10 sangatlah diperlukan. Kalau seseorang itu mebaca sifir matematik dengan mengatakan 5+5=100 sudah pasti dia manusia yang mengalami halusinasi yang cukup hebat. Tempat orang begitu semestinya hospital bahagia. 



Apatah lagi jika kerjaya dalam bidang akademik, untuk berjaya dan membolehkan mereka dilantik sebagai Naib Canselor universiti, bukan hanya mahir tentang formula, tetapi perlu mengajar org tentang formula dan menulis artikel dan journal bagi menyakinkan seluruh manusia tentang formula dan sifir yang baru dicipta.


Sehingga kini,tidak ada seorang pun jurutera yang berjaya tanpa memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan dengan mengusai formula fizik, tidak ada seorang akauntan pun yang berjaya tanpa kelulusan dan mengusai sifir matematik. 



Namun begitu, semua sifir yang kami baca di atas tidak sah laku dalam kerjaya politik. Seorang politikus yang terbaik ianya perlu memiliki sifir dan formula tersendiri dan hanya orang politik yang bijak dan mahir mampu  mengamalkannya.


Biarpun kelulusannya seseorang itu hanya sekadar darjah enam sekolah atap bocor, tetapi dia masih boleh mempunyai cita-cita untuk bergelar perdana menteri. Apatah lagi jika ahli politik itu yang akademiknya sempat berguru di Harvard dan Oxford. Jadi apakah sifir dan formula politik untuk mencipta kejayaan berlipat kali ganda dalam arena politik?



Seorang ahli politik yang berjaya mereka tidak perlu mengenal sifir matematik. Mereka juga tidaklah dipaksa untuk membaca buku biologi mahupun fizik. Hadis dan ayat Quran pun mereka hanya perlu hafal beberapa potong ayat sebagai pembuka bicara dalam ceramah mahupun ucapan perasmian pecah tanah. 



Ilmu yang perlu ahli politik mahirkan dalam diri adalah bagaimana kaedah untuk memanipulasikan manusia dengan keadaan semasa. Politikus akan tampak hebat bergaya bila bijak membaca kehendak manusia dan mahir pula membaca suasana semasa.


Sebenarnya dalam kancah politik tidak perlu kepada istilah transformasi sebagai mana yang UMNO umumkan, tidak perlu kepada sebarang perubahan dan mencipta kaedah baru. Buatlah dasar dan polisi macam mana sekali pun seorang politikus berupaya menerobos semua halangan dan peraturan dan akan sentiasa kelihatan betul serta benar selagi manusia dan keadaan menerimanya. Tidak ada istilah 'legally wrong' dan 'morraly wrong', selagi ahli politik bijak mengurus manusia dan keadaan, semuanya pasti 'legally right' dan 'morraly right'.



Formula asasnya mudah dalam politik. Sifir yang pertama adalah ampu sana dan ampu sini atau dengan kata lain jilat atas jilat bawah. Siapa yang perlu diampu? pastinya pemimpin tertinggi dalam hiraki parti. (kalau di peringkat bahagian, Ketua Bahagian, kalau di peringkat negeri, Pengerusi Badan Perhubungan, kalau peringkat nasional, tentulah presiden) namun paling mudah, teruslah menjilat presiden, secara automatik semua peringkat lain akan tunduk dengan akur dan menerima kita walaupun dengan terpaksa.



Sifir kedua yang perlu politikus mahir, uruslah manusia lain dengan membeli jiwa dan maruah mereka melalui wang ringgit. Terma "cash is king" menjadi pegangan utama para politikus zaman sekarang. Bagi mereka, rakyat boleh dibayar dengan wang bila diukur dengan tekanan keadaan masa sekarang. 



Itulah dua sifir politik yang perlu diamalkan bagi sesiap yang mahu raih kejayaan dalam kancah politik serta mendapat kedudukan dalam dunia politik. Jika kita boleh berpegang dan tidak menjadikan kepentingan bangsa,agama dan negara melebihi kepentingan peribadi, yakinlah kita akan berjaya. Jika kita boleh menjadikan tidak ada istilah halal haram dalam amalan,nescaya matlamat dan hajat akan tercapai.



Kesimpulannya, dalam politik jangan sesekali sifir halal haram menjadi pegangan hidup. Formula untuk membela bangsa, agama dan negara tidaklah perlu menjadi kiblat politik. Jika kita masih berpegang kepada dua perkara ini, maka kita tidak akan kemana dan akan kekal sebagai ahli parti yang busuk lagi hina.



Namun sifir yang nyata paling mudah dan lebih berkesan, ialah kita kena gunakan sifir yang ketiga iaitu pandai bermuka-muka dan mulakan perjalanan dengan menjadi penderhaka kepada bangsa,agama dan negara. 



Itulah sifir yang paling mudah dan tidak perlukan modal besar sebagai belanja. Dalam UMNO, kita tidak perlu meniti titian dan menyelusuri segala onak duri yang bersarang untuk menjadi pemimpin yang diterima dan ditatang oleh pemimpin besar. Cukuplah dengan pandai menjilat dan bermuka-muka akan menjamin tempat untuk kita suatu hari nanti.



Belajarlah daripada sejarah dan realiti yang terhidang di depan mata kita wahai ahli UMNO yang budiman. 



Bagaimana UMNO akan sentiasa berlapang dada dan sedia menghampar permaidani merah jika kita adalah penderhaka dan kita akan terus dijulang tinggi kelangit. Pengormatan yang diberikan setaraf dengan tahap penderhakaan kita sebelum ini. Makin tinggi kita menderhaka, makin tinggilah kita di julang.



Lihatlah kepada setiap contoh yang masih hidup dan nyata. Siapa yang tidak kenal dengan Ezam mohd Nor yang masih menyimpan berkotak-kotak bukti tentang penyelewengan Tun Mahatihir dan akhirnya menjadi senator dan akan berkhidmat di pejabat Perdana Menteri. 


Ezam Nor pernah anggap Kak Wan seperti ibu.


Zahid Hamidi orang penting yang melancarkan gerakan menjatuhkan Tun M dalam perhimpunan agong, kini diangkat menjadi Naib Presiden dan Menteri kanan. Nallakarupan, sesuai dgn jasanya menjaga Anwar Ibrahim bertahun-tahun akhirnya dilantik sebagai senator, Zahrain, Zulkifli Nordin, Ahmad Fairuz dan beberapa nama lain. Semuanya kerana menentang dan menderhaka, akhirnya kebajikan dan seluruh hidup mereka terbela dengan pelbagai dana khas yg disedia.



Begitu juga manusia seperti Zaid Mat Arip, Lokman Nor Adam, Hamdan Tahar. Tidak kurang juga dengan Raja Arif yang kini dilantik sebagai Ketua Pengarah Biro Tutuh Negara dengan pangkat Jusa A, serta Shahlan Ismail @ Nasution, mereka semua telah mendapat kedudukan kerana begitu mahir menggunakan sifir politik yang ketiga. "Real Warrior" UMNO yang setia dengan UMNO hanyalah lembu jantan yang mandul pada pandangan PM Najib.



Lantaran itu tidak mustahil selepas ini, orang yang menjadi penderhaka seperti Adam Adli, Khalid Ismath syiah akan dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO, kerana KJ juga memulakan dengan kaedah yang demikian. Malah banyak lagi nama-mana besar lain seperti Ahmad Maslan yang akhirnya dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia.



Namun, nama yang kami sebutkan diatas hanyalah anak bilis mata biru berbanding Anwar Ibrahim yang pernah menderhaka akhirnya hampir menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun dengan kuasa Allah, nasib Anwar tidaklah begitu baik berbanding anak bilis mata biru yang kami sebutkan.


Penderhaka juga dipilih menjadi calon BN.


Hari ini Anwar sekali lagi menjadi penderhaka yang mana selepas ini tidak mustahil akan sekali lagi dijulang tinggi ke puncak angkasaraya. Percayalah jika Anwar ibrahim menggunakan pendekatan mengikut sifir ketiga ini sekali lagi, pasti PM Najib akan terpelanting hilang entah kemana hanya dengan kalimah mudah "saya dengan ini isytiharkan masuk UMNO dan meninggalkan PKR" waktu itu kami sangat percaya seluruh ahli UMNO sekali lagi menangis teresak-esak sayu dan bangga dengan Anwar.

Saat dan ketika ini akan terampunlah segala dosa yang pernah dilakukan. "Legally Right" "Moraly Right". Jawatan PM dan Presiden UMNO akan menjadi miliknya. Ini ditambah lagi apabila kini semua jentera kanan yang bertindak selaku pengarah strategik, bakal setpol, Ketua Pengarah Agensi seperti Biro Tutuh Najib sudah pun mengepong Najib dan Rosmah. Waktu itu kita akan "say bye bye" pada Najib dan Rosmah.



Ini belum lagi dihitung kira berapa ramai sebenarnya Ketua-ketua  bahagian iman lemah yang kini sedang berduka, ahli-ahli parlimen yang juga sedang gulana kerana tidak dilantik sebagai menteri, ahli-ahli UMNO yang cuma pada senarai ahli tetapi tidak pernah tergerak untuk mengundi BN, Pegawai-pegawai kerajaan yang malas bekerja dan setianya kerana imbuhan bulanan tetapi hati dan perasaan masih simpati dan setia kepada Anwar Ibrahim. Lantaran itu,kita kini tak perlu memberikan sebarang pandangan kepada PM dan kerajaan, kerana pandangan dari orang yang setia dan tidak menderhaka sebenarnya nilainya sebesar tahi PM Najib. 



Kata-kata dan ingatan daripada org yang setia sebenarnya tidak akan memberi apa-apa makna. Ingatlah sifir ketiga ini amat penting. Untuk dilihat setiap patah ucapan dan kata-kata kita,kita harus mulakan dengan menjadi penderhaka yang baik. Ayuh kita berpesanlah kepada anak-anak muda, sampaikanlah amanat kepada anak cucu kita, kalau ingin berjaya dalam arena politik, mulakanlah dengan menjadi penderhaka seperti Adam Adli dan rakan-rakan. Lihatlah realiti, berapa ramai pemimpin mahasiswa pro aspirasi yg diangkat oleh UMNO dan berapa ramai yg memimpin pelajar Pro kepada PAS dan pro PKR yang sebenarnya dijulang dan diambil bekerja.


Lihatlah kepada PM Najib sendiri dalam memilih rangkain kerja, siapa akhirnya yang diberi tempat dan dibela bagai ayam serama? Ahli UMNO hanyalah ayam laga untuk PRU. Lihat sahaja KJ  penderhaka sebagai mana Regina yang akhirnya  diberi tempat di Pejabat Menteri.



Jadi tak perlulah kita beria-ia cuba melawan pemimpin Pro PAS di kampus, agenda UMNO dan kerajaan untuk melawan pembangkang perlu dicampak ke lombong atau Sungai Klang, kerana akhirnya yang dilawan itu dengan mudah diangkat menjadi orang kanan oleh pemimpin kita seperti PM Najib. Tidak perlu lagi kita yang setia dengan perjuangan ini menjadi kerbau laga, kerana kerbau lawan jua akhirnya bakal dipuja oleh tuan kita. Kita berlaga demi menyelamatkan maruah tuan, namun tidak mustahil bila-bila masa sahaja kita akan disembelih dan daging kita digulai menjadi hidangan dalam majlis meraikan kehadiran kerbau laga yang baru. Kerbau lawan yang layak diangkat sebagai wira bukan faktor hebat bertarung tetapi dia lebih faham permainan sifir politik yg ketiga.



Kepada pimpinan tertinggi,ingatlah maruah rakyat jangan digadai dengan slogan dan ucapan retorik dalam perhimpunan agong UMNO tidak lama lagi. Jangan permainkan istilah berjuang demi agama,bangsa dan negara bebagai perisai untuk menahan diri dari kemarahan rakyat. Tidak selamanya kepentingan peribadi demi kedudukan dalam parti dan kerajaan boleh ditutup dgn istilah transformasi,GTP,ETP dan lain-lain lagi.


Gunakanlah kewarasan yang dimiliki.



Penderhaka akan diangkat menjadi wira,manakala wira pula akan dibunuh seumpama penderhaka. Pemimpin yang adil akan kita sembah, pemimpin yang jahil rakyat berhak menyanggah. Waspadalah PM Najib. 6 juta mata ahli UMNO memerhati tindak tanduk anda. 



Kalau penderhaka anak bilis mata biru seperti Ezam boleh dibawa masuk ke Pejabat PM, maka layaklah Ketua segala penderhaka seperti Anwar Ibrahim menjadi PM Malaysia menggantikan Najib Razak. Inilah hebatnya sifir ke 3 kerana ia mampu menjadi jalan pintas atau batu loncatan dan mampu mengalahkan semua pengamal sifir 1 dan 2. Apatah lagi sifir biasa berpegang kepada falsafah perjuangan demi agama,bangsa dan negara lagi mudah untuk ditewaskan. Sekali fikir, kesian kepada arwah pejuang bangsa yang terdahulu kerana anak cucu mereka hari ini tidak lagi berpegang pada falsafah dan sifir politik yang mereka wariskan. Anak cucu mereka hari ini sudah terlalu bijak mencipta sifir mereka sendiri. Sifir mereka adalah sebagai mana sifir 1,2 dan 3.



Janganlah kita marah dan halang sebarang perhimpunan haram oleh petualang dan penderhaka,kerana ada dikalangan mereka itu akan kita angkat menjadi wira oleh kita sendiri. Mungkin PM Najib akan membuat pemilihan melalui pemerhatian dari kaca TV himpunan black 505 untuk melantik salah seorang dikalangan para pemberontak itu sebagai perancang strategi di Pejabat Memanda Menteri.



PM Najib harus berhati-hati dengan tindakan yang diambil dalam tempoh 100 hari kabinet dibentuk. Terlajak perahu boleh diundur. Namun terlajak tindakan, landskap politik boleh berubah 360 darjah tanpa kita jangka.


Hadiah Ulangtahun 67 UMNO untuk ahlinya.
Waytharmoothy pernah pijak Duli YdPA pun jadi Timbalan Menteri.

Thursday 20 June 2013

PM Najib Pelakon Politik Terbaik.

Sorry Kawan!! i mahu jaga karier politik.

Pernah orang tua-tua kami berpesan bahawa politik adalah satu seni yang cukup halus. Seni yang tercipta dalam kancah politik kadang-kadang boleh membuatkan kita rasa sangat seronok dan terkadang seni ini juga yang akan makan diri kita kalau ilmu politik dalam diri kita begitu cetek.

Orang tua-tua juga ada berpesan, berhati-hatilah bila kita bercampur dengan orang politik. Mereka ini cukup pandai bermain dengan kata-kata. Seorang politikus yang hebat apabila dia mampu mengubah persepsi manusia dengan hanya menggunakan kata-kata dusta tanpa sebarang bayaran imbuhan kepada manusia yang mahu dipengaruhinya.

"Jangankan janji, lagikan sumpah pun kita belum tentu boleh percaya" kalau melibatkan politikus di Malaysia mahupun di dunia.

Kami tidak nafikan yang Anwar Ibrahim adalah politikus yang hebat jika diambil kriteria lembut lidah daripada tulang. Anwar Ibrahim bila bercakap, seolah-olah dia menggunakan ilmu sihir untuk pengaruhi orang lain.

Objek penulisan kami hari ini bukan berkenaan politikus yang bernama Anwar Ibrahim, tetapi ianya melibatkan orang nombor 1 negara iaitu PM Najib Razak.

Kami tidak tahu di mana kami ingin mulakan untuk menceritakan tentang PM Najib yang telah mengecewakan ramai orang. Bukan sahaja orang UMNO, bahkan banyak pihak yang masih kecewa dengan Najib Razak.

Selepas PRU13 selamat dijalankan, pelbagai pertemuan di atur oleh PM Najib dengan pihak tertentu. Pertemuan itu dilaksanakan kononya bagi menghargai dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu BN menang dalam PRU13.

PM Najib jangan ingat yang hadir dalam pertemuan itu semuanya boleh dibeli dengan hanya ucapan terima kasih dan jamuan hidangan yang enak-enak. Bukan semua yang hadir itu orang yang tidak berduit bahkan mereka lagi mampu untuk makan yang enak-enak diluar dari pertemuan yang PM Najib aturkan.

Kami tidak pernah untuk menafikan bahawa agenda transformasi nasional yang PM Najib cuba bawa baik untuk negara Malaysia. Tetapi PM Najib perlu sedar bahawa ramai pihak sedang memerhati sejauh mana PM Najib Razak berlaku jujur sebagai seorang pemimpan nombor satu dalam UMNO, BN dan negara.

Semakin hari PM Najib dilihat mula mengorak langkah untuk menjaga kepentingan peribadi berbanding mendengar denyut nadi rakyat. Kami difahamkan oleh beberapa pihak yang PM Najib tidak lagi memperdulikan apa yang rakyat cuba sampaikan. Tindak tanduk yang PM Najib lakukan seolah-olah beliau takut yang jawatan beliau sebagai Presiden UMNO dirampas orang lain.

Kami tidak pasti apakah PM Najib sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri? Kami perhatikan setiap tindakan yang PM Najib buat seolah-olah terpaksa demi menjaga karier politik beliau berbanding menjaga kepentingan rakyat dan negara.

PM Najib mula dilihat mungkir janji ketika beliau membuat pengumuman calon BN dalam PRU13. Ramai dikalangan ahli UMNO seolah-olah memberontak apabila terma "winnable candidate" yang PM Najib gunakan hanyalah satu pembohongan yang besar. Pemilihan calon PRU13 sudah menampakkan bahawa PM Najib mahu jaga kedudukan karier politik beliau. Najib terpaksa menerima calon yang dibawa oleh menteri besar walaupun calon itu bukan pilihan hati rakyat. PM Najib tahu yang menteri besar boleh bantu beliau untuk melindungi jawatan presiden UMNO.

Sekarang ini, tengah menjadi isu hangat berhubung perlantikan orang kanan PM Najib. PM Najib perlu sedar bahawa dalam dunia sekarang bukan sahaja wakil rakyat yang perlu "winnable candidate" tetapi orang keliling juga mesti digemari rakyat.

"Dah kalah kalah lah". Apakah PM Najib tidak serius dalam membuat analisa tentang keputusan PRU13? Kenapa masih perlu diambil calon yang kalah sebagai orang kanan kepada PM Najib? Rakyat dah tolak si polan A, kenapa perlu si polan A bertugas di sebelah PM Najib? atau PM Najib mahu rakyat sendiri yang tolak beliau dalam PRU14?

Kalau inilah sikap PM Najib, ramai akan hilang hormat kepada beliau. Pandai cakap tapi tidak serupa bikin. "Saya sanggup hilang kawan daripada hilang negara", inilah yang PM Najib pernah ulang beberapa kali dihadapan rakyat samada ahli UMNO atau orang kebanyakkan. Tapi ayat itu hanyalah susunan kata-kata untuk meraih undi sebelum PRU13.

Sekarang ayat PM Najib mungkin sudah bertukar "Saya kena jaga kawan untuk kawan bantu saya kekal sebagai PM". 

Memang pandai PM Najib berlakon. Walaupun tidak sehebat Anwar Ibrahim lakonan PM Najib, tapi ianya sudah mampu untuk kekalkan PM Najib sebagai PERDANA MENTERI MALAYSIA.

Kepada blogger, facebooker, pejuang tidak didendang, sekarang baru kamu tahu dimana tempat kamu yang sebenar di mata PM Najib. Apakah maruah perjuangan kamu hanya cukup dibalas dengan kambing bakar dan air limau. Apakah dengan dapat bergambar di sebelah PM Najib, kamu sudah merasakan bahawa perjuangan kamu telah pun dibalas?

Maaf PM Najib. Kami menulis hasil dari pendengaran kami di akar umbi. Akar umbi yang banyak membantu BN pada PRU13. Sudah pasti akar umbi mahukan Transformasi Politik ini benar-benar berlaku. Jangan hanya reti bercakap soal transformasi tetapi tindakan masih lagi pada takok lama. 


Tuesday 18 June 2013

Penjawat Awam Liabiliti Terbesar Buat Najib Razak.

Kehangatan bahang PRU13 telah pun semakin kendur. Di pihak kerajaan yang memerintah, mereka meneruskan agenda untuk membangunkan negara Malaysia melalui pelbagai agenda tranformasi nasional. Bagi pihak pembangkang, susun atur strategi bagi PRU14 telah pun dilakukan disamping memerintah beberapa buah negeri yang mereka tawan.  

Agenda transformasi nasional yang dibawa oleh kepimpinan Najib Razak dan rakan-rakan dilihat satu perkara yang baik. Usaha ini jika dilakukan dengan jujur, sudah pasti tempoh 7 tahun untuk Malaysia mengejar status negara maju pada tahun 2020 bukanlah satu perkara yang mustahil.

Namun secara realitinya, apakah agenda transformasi ini disambut baik oleh semua pihak yang mempunyai peranan masing-masing dalam mempercepatkan dasar ini menjadi kenyataan?

GTP, ETP, PTP, DTP dan beberapa perkara lagi yang menjadi fokus utama kerajaan adalah tools atau alat bagi membantu cita-cita kerajaan tercapai. Tetapi untuk menggerakkan alat tersebut, modal insan yang baik diperlukan bagi memastikan tools tersebut berfungsi dengan sempurna.

Kita tidak mahu terma GTP, ETP, PTP itu hanyalah sekadar perkataan yang sedap disebut dan didengar tetapi hakikatnya, perkara itu cuma indah khabar dari rupa. 

Bila bercakap soal Government Transformation Programe, sudah pasti penjawat awam menjadi fokus utama dalam memastikan ianya benar-benar berjaya. GTP sebagai tools mahupun alat, tetapi yang harus memastikan alat tersebut bergerak lancar, peranan penjawat awam mestilah digunakan secara optimum.

Dasar sahaja cantik tetapi peringkat perlaksanaan oleh manusia hancur ibarat kita membina istana menggunakan tukang membuat reban ayam. Hasilnya kita sendiri boleh bayangkang.

Kami di zon selesa. Selagi kami tidak amalkan rasuah, kami tidak ditangkap di tempat maksiat, kami tidak merompak, kami akan terus kekal makan gaji dan sampai masa kami terima pencen. Apakah kata-kata ini menjadikan penjawat awam bebas untuk bekerja seperti melepaskan batuk ditangga?

Jangan hanya reti minta kebajikan dijaga, tetapi kerja malas.

Jam 8.30 masuk "punch card", jam 9.30 pagi kami ke restoran makan roti canai. Jam 11.00 pagi kembali ke pejabat dan "sign in" akaun facebook. Jam 1.00 tengahari berhenti main facebook. Sekarang waktu rehat, kami ke kedai makan sambil bertemu rakan-rakan sehinggalah jam 3.30 petang. Kemudian kami masuk pejabat dan baca tajuk utama akhbar utusan hinggalah jam 5.30 petang. 5.30 waktu kami balik.

Apakah masih berlaku rutin seharian penjawat awam sedemikian rupa? Tepuk dada tanyalah iman kita. Jika itulah yang berlaku kepada penjawat awam yang sepatutnya merekalah menggalas tugasan untuk menjayakan agenda transformasi nasional, alamatnya GTP,ETP,PTP dan 100 kali P pun semunya hanyalah perkara yang sia-sia.

Tempoh 7 tahun terlalu singkat untuk kepimpinan Najib Razak dan rakan-rakan merealisasikan agenda negara maju pada tahun 2020. Ini pula ditambah dengan liabiliti terpaksa ditanggung oleh mereka seperti penjawat awam kerja acuh tidak acuh.

Penulis sangat yakin, jika dalam tempoh 5 tahun ini Najib Razak gagal buktikan kepada rakyat yang agenda transformasi nasional ini berada ditahap yang baik, Najib Razak akan menerima hukuman yang cukup dasyat pada PRU14.

Biarpun pada dasarnya penjawat awam yang sepatutnya membantu Najib Razak untuk realisasikan misi 2020, tetapi yang bakal menerima bala adalah Najib Razak dan rakan-rakan. Rakyat tidak akan menunding jari pada Ketua Pengarah Jabatan mahupun pegawai ataupun kerani, tetapi "punching bag" adalah Najib Razak dan rakan-rakan.

Apakah Najib Razak perlu berkelakuan seperti guru mengajar kelas fardhu ain dengan membawa rotan memanjat semua jabatan kerajaan untuk pastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan baik? Sudah pasti jawapanya tidak.

Orang kampung atau rakyat masih tidak dapat membezakan antara penjawat awam dan kerajaan Barisan Nasional. Tetapi jika penjawat awam tidak menjalankan tugasan mereka dengan sempurna, rakyat akan keluarkan kenyataan "kita TUKAR kerajaan baru". Inilah bala yang bakal dihadapi oleh Najib Razak.

Penjawat awam tidak sepatutnya menjadikan kerjaya yang mereka ada hanyalah sebagai platform untuk mereka digelar VIP ataupun ruang untuk mencari pendapatan semata-mata, tetapi mereka perlu jadikan kerjaya ini sebagai satu tanggungjawab. Kalau kita sebagai guru, biarlah kita didik anak bangsa sehingga mereka benar-benar boleh berjaya. Kalau kita sebagai doktor, biarlah sampai kita menangis jika pesakit kita tidak dapat diselamatkan.

Ketua Jabatan jangan hanya kuat menjilat.

Kita tidak mahu doktor ataupun guru yang hanya melaksanakan tugas mereka disebabkan arahan semata-mata. Begitu juga dengan penjawat awam yang lain.

Najib Razak dan rakan-rakan perlu bekerja keras untuk berhadapan dengan perkara-perkara ini. Modal insan aset yang penting untuk kita kejar status negara maju. Kalaupun kita ada mesin yang hebat, tetapi pengendalinya tidak reti menekan butang, mesin itu bakal menjadi besi buruk yang tidak bernilai. Walaupun kita ada agenda transformasi yang cantik, tetapi pengendali seperti penjawat awam tidak berfungsi, agenda itu akan meninggalkan nama semata-mata.