Thursday 24 October 2013

Artikel Khas Untuk #Azwanbro & #NajibRazak.

Lama benar kumpulan kami tidak bergosip perihal politik di ruang bicara maya ini. Namun ianya tidak bermakna kami telah meninggalkan arena politik tanahair tercinta. Pada kami, politik adalah perkara asas untuk kestabilan bagi sesebuah negara termasuklah negara Malaysia tercinta.

Bila berbicara tentang landskap dan arena politik, pasti terma-terma yang bermain dalam pemikiran adalah BN, UMNO, PAS, DAP, pengundi, SPR, Najib Razak, Anwar Ibrahim dan pelbagai lagi. Malaysia sekitar 20 tahun yang terdahulu tidak ramai yang memahami formula politik, namun akhir-akhir ini hampir segenap lapisan masyarakat boleh menyebut nama Najib, Rosmah, Anwar, Nik Aziz.

Biarpun mereka ini tidak khatam tentang ilmu politik matang, tetapi pada kami mereka mula berminat dengan perkembangan politik tanahair. Boleh kami katakan bahawa politikus hari ini popular bagaikan artis jika sekitar 70 an terdahulu.

Bila mana segenap lapisan masyarakat mula berminat untuk menyusuri setiap perkembangan politik, apakah ini menjadi satu peluang ataupun ancaman buat sesebuah parti dalam negara kita? Jika dahulu, ahli politik boleh berbohong kepada pengundi, tetapi tidak untuk hari ini. Jika dahulu rakyat hanya melihat bendera parti dan kempen pada waktu pilihanraya, tetapi tidak untuk hari ini.

Kini, rakyat disajikan dengan dunia politik setiap masa samada dalam media konvesional mahupun media elektronik. Tambahan pula sekarang Malaysia antara negara tertinggi menggunakan aplikasi "facebook" ciptaan yahudi. Pada kami, siapa yang menguasai ruangan media, pasti mereka akan berjaya mengawal persepsi rakyat. Politik adalah persepsi.

Seperti biasa, laman blog kami 6  jahanam tidak berminat untuk mengkritik parti pembangkang of the day. Pada kami, merugikan masa untuk kami berbicara tentang parti DAP, PAS dan PKR. Mereka ini tidak layak untuk kita bincangkan kerana terciptanya mereka kerana dendam kesumat bukanya atas dasar perjuangan agama. bangsa mahupun negara.

Jika DAP, PAS dan PKR bukan perjuangkan agama, bangsa dan negara, parti mana yang boleh kita katakan memperjuangkan Alif Ba dan Ta? Untuk menjawab persoalan ini, semuanya mengikut penilaian minda kita semua. Tetapi kalau kita ahli UMNO yang menjadi perwakilan sewaktu PAU13 boleh dibeli dengan wang ringgit, pada kami anda tidak layak membuat penilaian terhadap parti.

Alhamdulillah. UMNO dengan jayanya telah selesaikan urusan memilih pucuk pimpinan parti. Transformasi sistem yang direka oleh UMNO pada kami sangat boleh dipuji dan dibanggakan. Kami juga bangga dengan UMNO kerana memberi laluan kepada Najib Razak dan Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi UMNO tanpa sebarang pertandingan.

Adat pertandingan, kalah menang menjadi taruhan. Pada yang kalah antara harus berbangga kerana tidak menggunakan wang ringgit untuk membeli perwakilan. Pada mereka yang menang kerana politik wang, PRU14 anda juga perlu sediakan wang yang banyak untuk gerakkan jentera dan beli pengundi. Paling jijik, pada mereka yang kalah walaupun melaburkan berjuta wang untuk membeli perwakilan.

Kami tidak mahu menuduh sesiapa dalam hal politik wang, tetapi jika ada dikalangan mereka yang membaca artikel kami ini, tepuk dada tanyalah iman kita. Tapuk pimpinan bukanlah sesuatu perkara yang perlu ditagih dengan wang ringgit, tetapi ianya adalah perlantikan melalui sebuah kepercayaan rakyat kepada anda.

Beberapa hari yang lepas, medan politik kita telah dikejutkan dengan gambar Khairul Azwan Naib Ketua Pemuda Malaysia yang baru bersama dengan dua wanita seksi dalam sebuah pusat hiburan. Pada saya, inilah asam garam dalam persaingan politik. Siapa yang dapat menjatuhkan musuh politik, pastinya mereka akan merasakan itu adalah sebuah kejayaan.




Kami tidak berani untuk mengatakan bahawa gambar tersebut adalah asli. Kami juga tidak boleh kelaskan bahawa gambar itu adalah direka menggunakan aplikasi "photoshop". Hanya Azwan Bro, dua wanita itu dan individu yang merakam gambar tersebut sahaja tahu akan keaslian gambar tersebut.

Kalau gambar tersebut adalah 100% asli, pada kami imej sayap pemuda UMNO sangatlah memalukan. Dek kerana nila setitik, pasti susu sebelanga mengalami kerosakkanya.

PRU13 ramai penganalisa politik tanahair berbicara tentang peranan pengundi muda dalam mengubah landskap politik negara. Pada hemat penganalisa, pengundi muda penentu kepada keputusan PRU13 yang lepas. 

Ternyata apa yang dibualkan oleh penganalisa ada kebenaranya. Hampir 65 peratus saluran pengundi muda di negara kita tidak berpihak kepada BN terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar. Natijahnya, BN hanya menang 133 kerusi Parlimen sekaligus gagal mendapatkan 2/3 majoriti walaupun segala transformasi dilakukan oleh Najib Razak.

PRU13 bukan sahaja kita menyaksikan tsunami pengundi cina, tetapi BN perlu menerima hakikat bahawa elNino pengundi muda juga telah terjadi pada PRU13. 

Bila perkara ini kita bentangkan kepada kepimpinan BN, meraka akan menjawab "perkara yang sudah lepas biarkan berlalu, kita mulakan buku baru untuk menarik pengundi muda". Soalnya, siapa yang mahu kita harapkan untuk kawal selia pengundi muda? Azwan Bro? Anda pasti boleh membuat gambaran sendiri.

Semenjak dari 1946 hinggalah sekarang, dasar UMNO tidak pernah berubah. UMNO terus konsisten untuk menjadi sebuah parti yang akan mengEsakan Allah dengan mempertahankan agama Islam, UMNO akan terus membela nasib Melayu serta menjaga keamanan negara Malaysia. Keteguhan UMNO ini harus kami berenam memberi pujian kepada pemimpin UMNO samada yang hidup atau telah meninggal dunia. Paling tidak UMNO bukanlah seperti PAS yang boleh menukar dasar perjuangan dari negera Islam kepada negara kebajikan selepas diherdik oleh DAP.

Namun menjadi persoalan kami disini, apakah UMNO berjuang demi agama, bangsa dan negara hanyalah laungan politikus bila berhadapan dengan ahli dan perwakilan? Tetapi bila berhadapan dengan GRO atau perempuan simpanan, agama telah diketepikan? Maaf. Kami menegur untuk kebaikan parti.

Kalau menang jawatan Naib Ketua Pemuda dengan membeli perwakilan secara tunai, apakah kita dapat menjangkakan bahawa pengundi muda bukan ahli UMNO pada PRU14 akan datang dapat menerima pemimpin mereka yang tidak bermoral? Kita saksikan bersama pada PRU14 nanti.

Dari awal perbicaraan kami, rakyat bukan lagi bodoh. Rakyat bukan lagi tidak bermaklumat. Rakyat semakin pandai menilai siapa yang patut mereka pilih untuk memimpin negara kita.

Pada kami, kalau selama ini ahli UMNO menolak Anwar Ibrahim kerana seks sonsang, chinadoll dan masalah moral yang lain, sudah pasti anda juga tidak mahu pemimpin kita yang mewarisi cara hidup Anwar bin Ibrahim. Ahli UMNO bukan dikenali sebagai manusia yang hipokrit.

Pesan orang tua bukanlah pesan yang tidak bernilai. Kata pejuang terdahulu "Kalu mahu membeli kain, pilihlah kain bercorak catur, Jika mahu pilih pemimpin, pilihlah pemimpin berakhlak jujur".

1946, 41 kesatuan melayu dari seluruh tanahair bersatu menjadikan mereka sebagai Kongres Melayu Semalaya dan akhirnya menjadi UMNO. Tetapi menjelang kini, ramai dikalangan ahli UMNO yang mula menubuhkan persatuan lain untuk berjuang. Apakah zaman kehancuran sudah bermula?

Mereka yang wujudkan persatuan bukan kerajaan ini pasti ada alasan tersendiri kenapa mereka berjuangan dengan cara mereka. Pada mereka UMNO tidak boleh ditegur, UMNO menyekat orang yang berkelayakan dan UMNO sudah busuk sampai ke usus. Apakah Najib Razak dan Muhyiddin ada kekuatan untuk satukan mereka ini supaya kembali kepada UMNO/BN?

Kami anak muda 6 jahanam tidak mahu UMNO mengalami kehancuran sebab kami yakin dengan terma Alif Mim Nun Wau yang menjadi AMNU/UMNO. UMNO menegakan Alif (Allah). UMNO meneruskan ajaran Mim (Muhammad). UMNO akan terus mencari Nun Wau (Nur), untuk bangsa Melayu Islam.

Wasalam.






No comments:

Post a Comment

Sebarang komen yang ditinggalkan adalah di bawah tangungjawab anda sendiri. Admin tidak akan bertanggungjawab. Terima kasih.