Showing posts with label ETP. Show all posts
Showing posts with label ETP. Show all posts

Tuesday, 18 June 2013

Penjawat Awam Liabiliti Terbesar Buat Najib Razak.

Kehangatan bahang PRU13 telah pun semakin kendur. Di pihak kerajaan yang memerintah, mereka meneruskan agenda untuk membangunkan negara Malaysia melalui pelbagai agenda tranformasi nasional. Bagi pihak pembangkang, susun atur strategi bagi PRU14 telah pun dilakukan disamping memerintah beberapa buah negeri yang mereka tawan.  

Agenda transformasi nasional yang dibawa oleh kepimpinan Najib Razak dan rakan-rakan dilihat satu perkara yang baik. Usaha ini jika dilakukan dengan jujur, sudah pasti tempoh 7 tahun untuk Malaysia mengejar status negara maju pada tahun 2020 bukanlah satu perkara yang mustahil.

Namun secara realitinya, apakah agenda transformasi ini disambut baik oleh semua pihak yang mempunyai peranan masing-masing dalam mempercepatkan dasar ini menjadi kenyataan?

GTP, ETP, PTP, DTP dan beberapa perkara lagi yang menjadi fokus utama kerajaan adalah tools atau alat bagi membantu cita-cita kerajaan tercapai. Tetapi untuk menggerakkan alat tersebut, modal insan yang baik diperlukan bagi memastikan tools tersebut berfungsi dengan sempurna.

Kita tidak mahu terma GTP, ETP, PTP itu hanyalah sekadar perkataan yang sedap disebut dan didengar tetapi hakikatnya, perkara itu cuma indah khabar dari rupa. 

Bila bercakap soal Government Transformation Programe, sudah pasti penjawat awam menjadi fokus utama dalam memastikan ianya benar-benar berjaya. GTP sebagai tools mahupun alat, tetapi yang harus memastikan alat tersebut bergerak lancar, peranan penjawat awam mestilah digunakan secara optimum.

Dasar sahaja cantik tetapi peringkat perlaksanaan oleh manusia hancur ibarat kita membina istana menggunakan tukang membuat reban ayam. Hasilnya kita sendiri boleh bayangkang.

Kami di zon selesa. Selagi kami tidak amalkan rasuah, kami tidak ditangkap di tempat maksiat, kami tidak merompak, kami akan terus kekal makan gaji dan sampai masa kami terima pencen. Apakah kata-kata ini menjadikan penjawat awam bebas untuk bekerja seperti melepaskan batuk ditangga?

Jangan hanya reti minta kebajikan dijaga, tetapi kerja malas.

Jam 8.30 masuk "punch card", jam 9.30 pagi kami ke restoran makan roti canai. Jam 11.00 pagi kembali ke pejabat dan "sign in" akaun facebook. Jam 1.00 tengahari berhenti main facebook. Sekarang waktu rehat, kami ke kedai makan sambil bertemu rakan-rakan sehinggalah jam 3.30 petang. Kemudian kami masuk pejabat dan baca tajuk utama akhbar utusan hinggalah jam 5.30 petang. 5.30 waktu kami balik.

Apakah masih berlaku rutin seharian penjawat awam sedemikian rupa? Tepuk dada tanyalah iman kita. Jika itulah yang berlaku kepada penjawat awam yang sepatutnya merekalah menggalas tugasan untuk menjayakan agenda transformasi nasional, alamatnya GTP,ETP,PTP dan 100 kali P pun semunya hanyalah perkara yang sia-sia.

Tempoh 7 tahun terlalu singkat untuk kepimpinan Najib Razak dan rakan-rakan merealisasikan agenda negara maju pada tahun 2020. Ini pula ditambah dengan liabiliti terpaksa ditanggung oleh mereka seperti penjawat awam kerja acuh tidak acuh.

Penulis sangat yakin, jika dalam tempoh 5 tahun ini Najib Razak gagal buktikan kepada rakyat yang agenda transformasi nasional ini berada ditahap yang baik, Najib Razak akan menerima hukuman yang cukup dasyat pada PRU14.

Biarpun pada dasarnya penjawat awam yang sepatutnya membantu Najib Razak untuk realisasikan misi 2020, tetapi yang bakal menerima bala adalah Najib Razak dan rakan-rakan. Rakyat tidak akan menunding jari pada Ketua Pengarah Jabatan mahupun pegawai ataupun kerani, tetapi "punching bag" adalah Najib Razak dan rakan-rakan.

Apakah Najib Razak perlu berkelakuan seperti guru mengajar kelas fardhu ain dengan membawa rotan memanjat semua jabatan kerajaan untuk pastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan baik? Sudah pasti jawapanya tidak.

Orang kampung atau rakyat masih tidak dapat membezakan antara penjawat awam dan kerajaan Barisan Nasional. Tetapi jika penjawat awam tidak menjalankan tugasan mereka dengan sempurna, rakyat akan keluarkan kenyataan "kita TUKAR kerajaan baru". Inilah bala yang bakal dihadapi oleh Najib Razak.

Penjawat awam tidak sepatutnya menjadikan kerjaya yang mereka ada hanyalah sebagai platform untuk mereka digelar VIP ataupun ruang untuk mencari pendapatan semata-mata, tetapi mereka perlu jadikan kerjaya ini sebagai satu tanggungjawab. Kalau kita sebagai guru, biarlah kita didik anak bangsa sehingga mereka benar-benar boleh berjaya. Kalau kita sebagai doktor, biarlah sampai kita menangis jika pesakit kita tidak dapat diselamatkan.

Ketua Jabatan jangan hanya kuat menjilat.

Kita tidak mahu doktor ataupun guru yang hanya melaksanakan tugas mereka disebabkan arahan semata-mata. Begitu juga dengan penjawat awam yang lain.

Najib Razak dan rakan-rakan perlu bekerja keras untuk berhadapan dengan perkara-perkara ini. Modal insan aset yang penting untuk kita kejar status negara maju. Kalaupun kita ada mesin yang hebat, tetapi pengendalinya tidak reti menekan butang, mesin itu bakal menjadi besi buruk yang tidak bernilai. Walaupun kita ada agenda transformasi yang cantik, tetapi pengendali seperti penjawat awam tidak berfungsi, agenda itu akan meninggalkan nama semata-mata.